Isnin, 13 April 2020

Covid-19: Majlis Fatwa negeri Sabah putuskan solat tarawih di rumah masing-masing

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar
KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau dilanjutkan tempohnya sehingga 28 April 2020M/05 Ramadan 1441H (Selasa).

Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata langkah itu dibuat setelah mengambil kira asas syarak dan maqasid syariah demi keselamatan dan kebaikan umat Islam.

Menurut beliau keputusan itu akan melibatkan penangguhan solat jumaat pada 17 April 2020M/23 Syaaban 1441H dan 24 April 2020M/01 Ramadan 1441H.

“Ahli Qaryah wajib solat fardu zuhur pada hari Jumaat tersebut dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh tersebut.

“Umat Islam hendaklah merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan
sebelum ini iaitu ‘Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya’ dan garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aziz berkata umat Islam perlu mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan pihak Kementerian Kesehatan Malaysia.

Sebelum ini kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020/05 Ramadan 1441H bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Aziz berkata Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah turut menggariskan kaedah pelaksanaan ibadat pada bulan Ramadan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP Covid-19 sebagai panduan umat Islam.

Antaranya ialah pelaksanaan ibadah puasa adalah wajib bagi pesakit Covid-19 yang telah baligh, berakal, berupaya berpuasa, bermukim dan bersuci daripada haid dan nifas.

“Orang sakit yang tidak berupaya berpuasa, mereka diharuskan untuk tidak berpuasa sebagaimana rukhsah yang lain.

“Bagi orang yang sihat namun khuatir dengan berpuasa akan menyebabkan ia sakit berdasarkan nasihat pihak perubatan, mereka ini dianggap sebagai keuzuran yang mengharuskan untuk berbuka (tidak puasa),” ujar beliau lagi.

Beliau berkata pesakit Covid-19 perlu berniat melaksanakan ibadah puasa pada malam hari atau ketika bersahur serta berpuasa sebagaimana biasa mengikut kadar kemampuan diri masing-masing.

Mereka juga, katanya diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu meneruskan ibadah puasa dan diharuskan berbuka atas atas nasihat para doktor Muslim yang merawat mereka, sekiranya puasa boleh melambatkan kesembuhan atau akan memudharatkan lagi keadaan pesakit.

Mengenai pesakit yang kritikal pula diharuskan untuk tidak berpuasa.

Katanya pesakit yang tidak berpuasa hendaklah menghormati bulan Ramadan dengan menjaga adab-adab tertentu manakala ibadah puasa yang ditinggalkan hendaklah diganti semula setelah mereka sihat mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Berhubung solat Tarawih dalam tempoh PKP, Aziz menjelaskan orang Islam dianjurkan mendirikan sembahyang Tarawih di rumah masing-masing. – SabahNewsToday

Loading...
Share This