Jumaat, 17 April 2020

COVID-19: Kunjung-mengunjung punca kes positif naik di Sabah

Christina Rundi
KOTA KINABALU: Aktiviti kunjung-mengunjung serta berkumpul untuk bermain permainan video dikenal pasti antara penyumbang kenaikan kadar kes positif COVID-19 di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mendapati faktor seumpama itu sering dijadikan alasan dalam kalangan masyarakat agar boleh melakukan pergerakan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku disebabkan kerajaan berusaha sebaik mungkin bagi menghindari pertambahan penularan wabak ini.

“Ketidakpatuhan masyarakat ke atas arahan PKP hanya akan menggagalkan usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya pada kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Dr Christina menyatakan, ada 135 kes kontak positif COVID-19 yang merangkumi generasi pertama hingga ketiga setakat kelmarin.

“Majoriti 66.7 peratus kes ini adalah kontak serumah, manakala 3.7 peratus saudara terdekat.

“Selain itu, 22.2 peratus ialah kontak sosial seperti rakan yang melalui aktiviti bersama serta 7.4 peratus lagi rakan sekerja.

“Hal ini menunjukkan risiko jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat amat tinggi. Oleh itu, penting serta perlu untuk membuat pengasingan awal ke pusat kuarantin bagi golongan berisiko tinggi seperti individu yang pulang dari luar negara atau kontak rapat kepada pesakit COVID-19,” katanya.

Sementara itu, bilangan kes positif COVID-19 kekal 285 kes setakat semalam.

Jumlah keseluruhan sampel yang sudah diproses adalah 22,426 sampel daripada 267,534 orang yang telah menjalani saringan pemeriksaan sehingga 14 April lalu.

Loading...
Share This