Isnin, 6 April 2020

COVID-19: Elak dekati haiwan peliharaan

FOTO HIASAN
PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati haiwan peliharaan masing-masing kerana bimbang haiwan terbabit dijangkiti wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sekiranya haiwan itu dijangkiti COVID-19, ia juga boleh menjangkiti manusia.

Katanya, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan meneruskan menjaga kebersihan diri.

“Ada tujuh jenis coronavirus yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia antaranya, Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan yang terbaharu ialah COVID-19.

“Pemilik haiwan berkenaan perlu membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk diperiksa di klinik haiwan bagi mengetahui sama ada ia dijangkiti COVID-19 atau sebaliknya,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan seekor harimau malaya di Zoo Bronx, New York disahkan positif COVID-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Harimau yang dinamakan sebagai Nadia itu berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit susulan dijangkiti coronavirus daripada manusia.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka, namun tidak mengalami simptom yang signifikan. - Berita Harian

Loading...
Share This