Ahad, 12 April 2020

COVID-19: Belum ada bukti saintifik terowong sanitasi berkesan

Pusat Kajian Klinikal (CRC) dan Kajian Klinikal Malaysia (CRM) akan kaji keberkesanan terowong sanitasi. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Belum ada bukti saintifik atau klinikal menunjukkan keberkesanan terowong sanitasi seperti yang pasang dan digunakan di beberapa negara termasuk Turki dan China.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sudah mengenal pasti Pusat Kajian Klinikal (CRC) dan Kajian Klinikal Malaysia (CRM) untuk mengkaji keberkesanannya.

“Setakat ini memang tidak ada bukti saintifik atau klinikal yang menyatakan terowong ini berkesan.

“Kajian itu sedang dilaksanakan dan berharap kita akan mendapat data. Setakat ini kita tidak ada bukti kukuh untuk mengatakan ia berkesan,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian mengulas penggunaan terowong sanitasi di Turki dan China termasuk di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Portal berita Business Insider pada Februari lalu melaporkan beberapa bandar raya di China memasang terowong nyah kuman yang menyembur cecair berkenaan dan mendakwa ia mampu membunuh sehingga 99 peratus virus.

Bagaimanapun, laporan sama menyebut pakar kesihatan tidak yakin dengan keberkesanannya.

Berita Harian sebelum ini melaporkan terowong sanitasi ciptaan warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi kegunaan petugas barisan hadapan selamat digunakan dengan penggunaannya lebih menjurus kepada langkah pencegahan awal.

Loading...
Share This