Rabu, 1 April 2020

Covid-19: 7,173 sampel sudah diuji di Sabah

GAMBAR HIASAN
SEBANYAK 7,173 sampel di Sabah sudah melalui ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, 600 ujian sahaja dijalankan semalam dan lima sampel dikesan positif Covid-19.

Beliau berkata, ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan wabak itu dilaksanakan melalui teknik rRT-PCR.

“Semua ujian ini bagi seluruh negeri telah dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK) sejak 8 Februari lalu.

“Bagaimanapun, makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) sudah memulakan perkhidmatan ujian sama bermula 30 Mac,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Christina menyatakan masih terdapat 196 pesakit Covid-19, 87 individu dalam siasatan (PUI) dan 22 pesakit dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) sedang dirawat di enam hospital seluruh negeri setakat hari ini, manakala bilangan pesakit yang sudah sembuh kekal 12 orang.

“Selain itu, seramai 7,717 individu di negeri ini masih berada di bawah pemantauan perintah pengawasan serta pemerhatian kuarantin di rumah setakat 31 Mac.

“Seramai 6,512 kontak rapat pula sedang menjalani pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), manakala 1,150 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari setakat semalam.

“Semua pemantauan ini dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 731 individu kini masih ditempatkan di 25 pusat kuarantin seluruh negeri berbanding 809 orang semalam, manakala 66 orang telah dibenarkan pulang hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan terdapat tiga kes baharu positif Covid-19 direkod hari ini di daerah Sandakan, Penampang dan Semporna.

Penambahan angka berkenaan sekali gus mencatatkan 209 kes berkaitan Covid-19 di Sabah.

Loading...
Share This