Selasa, 7 April 2020

Bantuan Prihatin: Berputih mata kad ATM 'dipegang' along

AZMAN Kang menunjukkan mesej dihantar mangsa along kepadanya. FOTO Ihsan GBAM
SEPATUTNYA pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional memberi makna kepada banyak pihak, namun bagi lebih 50,000 peminjam ceti haram, mereka mungkin terpaksa berputih mata.

Ini kerana sejak beberapa tahun lalu, kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mereka dipegang along sebagai jaminan untuk melunaskan pinjaman.

Ia menyebabkan wang yang disalurkan untuk membantu rakyat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin akan menjadi milik along atau dijadikan ansuran bayaran pinjaman mereka.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM), Azman Kang Abdullah berkata, dia dihubungi beberapa pengadu yang menyuarakan perkara itu serta merayu kad ATM mereka dipulangkan semula.

Katanya, ada yang sudah menyerahkan kad kepada along sejak 2015, namun bayaran balik pinjaman belum selesai sehingga kini.

"Ini juga satu isu yang saya rasa perlu diselesaikan. Kalau sebelum ini, gaji bulanan juga dipegang along, apa bezanya dengan wang bantuan yang masuk ke akaun yang sama.

"Kebanyakan mereka layak menerima bantuan prihatin yang diumumkan kerajaan baru-baru ini. Ada yang sudah menghubungi along, merayu untuk mendapatkan semula kad ATM, tetapi tidak diendahkan.

“Saya rasa along ini akan periksa akaun peminjam seperti biasa, bila ada wang masuk, mereka akan keluarkan untuk potong jumlah pinjaman. Ini selalu berlaku terutama mereka yang menerima bonus setiap hujung tahun" katanya.

Azman berkata, pihaknya mencadangkan supaya mereka yang terbabit diberi kebenaran menukar akaun yang berdaftar dengan pihak berwajib bagi membolehkan wang itu diterima individu yang berhak.

Menurutnya, GBAM juga ada berbincang dengan along supaya menggunakan kaedah lain untuk memastikan pembayaran dibuat, namun tidak membuahkan hasil.

"Sebab itu saya nasihatkan kepada orang ramai, jangan sesekali berurusan dengan along kerana ia hanya mendatangkan musibah.

"Transaksi aktiviti along ini berjumlah jutaan ringgit setiap hari dan mereka tidak menghentikan operasi sepanjang PKP ini, semua permohonan boleh dibuat secara online. Jadi orang yang susah akan terus susah," katanya.

Azman berkata, isu ini akan dibawa dalam perbincangan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam waktu terdekat untuk mencari jalan penyelesaian.

Sementara itu, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Munirah, 40-an berkata, dia bingung memikirkan nasibnya yang mungkin tidak dapat menerima Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan kerajaan.

"Saya layak menerima bantuan berkenaan tetapi mungkin tak merasa duit itu kerana kad ATM ada pada along.

"Memang saya ada minta, tetapi tidak diendahkan. Duit itu juga akan ditolak daripada hutang saya sebelum ini," katanya.

Munirah berkata, dia membuat pinjaman sebanyak RM5,000 kerana menghadapi masalah kewangan dan perlu membayar sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, selepas beberapa kali, dia tidak membayar seperti dijanjikan menyebabkan along meminta kad ATM miliknya sebagai jaminan bayaran.

"Sekarang saya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Pernah ada rakan mencadangkan supaya batalkan kad ATM tetapi saya bimbang sesuatu berlaku kepada saya dan keluarga," katanya.

Loading...
Share This