Khamis, 9 April 2020

8 anggota RELA cedera lori terbalik di Keningau

KEADAAN lori dinaiki anggota RELA terbalik di Kampung Bariawa
LAPAN anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas lori dinaiki yang turut membawa bantuan makanan terbalik di Kampung Bariawa di sini, 4.20 petang kelmarin.

Kejadian menyebabkan anggota berkenaan cedera di kepala, mulut dan kaki.

Mereka dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan.

Pengarah RELA Sabah Mohd Pauzi Jhumat berkata, terdahulu, lori itu membawa muatan makanan untuk diagih kepada penduduk di sekitar Keningau hingga ke Sook yang terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya, empat lori RELA masing-masing membawa muatan makanan bertolak dari Pusat Pengumpulan Makanan di Bangunan MUIS, Kota Kinabalu, 1 tengah hari.

“Bekalan itu disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Tiba di lokasi, lori yang berada di hadapan hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, semua anggota berkenaan dibenarkan pulang selepas dirawat.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 991 daripada 1,250 anggota RELA seluruh Sabah digerakkan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Mudi Pengiran berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 4.26 petang, sembilan anggota dan dua jentera dikerah ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami memberi rawatan awal kepada mangsa. Operasi tamat 6.44 petang,” katanya.

Loading...
Share This