Ahad, 29 Mac 2020

Timbalan ketua bahagian WARISAN buat pengakuan terbuka positif Covid-19

LABUAN: Timbalan ketua bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan Noor Halim Zaini pada malam Sabtu (28 mac) membuat pengakuan terbuka, beliau telah disahkan positif COVID-19.

“Hari ini (Sabtu) selepas tujuh hari dikuarantin di Hospital Labuan, saya dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kesihatan, bahawa keputusan ujian swab saya adalah positif, meskipun saya tidak mengalami sebarang simptom COVID19.

“Oleh itu saya merayu semua saudara, kenalan rapat dan jauh saya yang pernah bersalaman dan duduk berdekatan dan semeja dari 11 hingga 18 Mac agar segera ke Hospital Membedai Labuan untuk menjalani saringan esok (Ahad) atau bila-bila masa berkesempatan,”katanya dalam pengakuan di halaman Facebooknya.

Menurut Halim sebelum beliau dikuarantin, beliau terlebih dahulu dimaklumkan dari rakan-rakan bahawa salah seorang rakannya telah dikurantin di Hospital Labuan kerana disyaki ada jangkitan COVID-19.

“Oleh itu pada 20 Mac saya telah menjalani saringan (soal jawab, pengambilan suhu badan dan penerangan mengenai COVID-19) dan ketika itu saya dalam keadaan sihat.

“Pada 22 Mac saya telah dipanggil untuk membuat ujian swab dan sebaik ujian selesai saya diminta untuk jalani kuarantin, dan selepas tujuh hari dikuarantin, saya dimaklumkan ujian itu menunjukkan positif.

Beliau mengingatkan COVID-19 mudah berjangkit, dan dengan maklumannya melalui Facebook beliau berharap dapat membantu memberi kesedaran umum dan membantu menyekat penularan wabak ini.

“Mana-mana pihak yang disahkan awal yang telah dijangkiti COVID-19 berpeluang tinggi untuk disembuhkan berbanding dengan yang telah nazak.

“Saya ingin mengambil kesempatan momohon maaf dan ampun jika anda telah dijangkiti secara langsung atau tidak langsung oleh saya.

“Mohon doakan saya supaya cepat sembuh dan boleh lagi kita bersalaman dan duduk semeja pada akan datang, Aamiin,” katanya.

Dalam perbualan telefon, beliau meluahkan isi hatinya, sebagai individu yang disahkan sebagai pesakit COVID-19, beliau tidak harus malu untuk membuat pengakuan, kerana beliau percaya ianya akan dapat membantu yang lain agar segera membuat saringan awal bagi membantu memutuskan rantaian wabak ini.

“Saya dimaklumkan esok saya akan mula menerima rawatan sebagai pesakit COVID-19, dan saya akan berusaha untuk bebas dari COVID-19, ” katanya.

Labuan merekodkan penambahan lima kes baharu pada Sabtu menjadikan kumulatif kes COVID-19 di Labuan setakat hari ini sebanyak 10 kes.

Loading...
Share This