Rabu, 25 Mac 2020

Polis 'usir' bot kumpit dari Filipina di Perairan Sandakan

SEBUAH bot kumpit dari Filipina diarah pulang pagi tadi di Perairan Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
POLIS mengusir bot kumpit dari Filipina yang dikesan memasuki perairan Sandakan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya mengesan bot itu ketika menjalankan Ops Covid-19 di perairan Sandakan.

Menurutnya, bot kumpit itu dipercayai memasuki perairan Sandakan bagi menjalankan aktiviti ‘transhipment’ barang.

“Polis mengarahkan bot itu balik ke Filipina dan mereka mematuhinya.

“Perkara itu harus dilakukan susulan arahan kerajaan tidak membenarkan bot kumpit masuk ke Sabah,” katanya pada sidang media Sandakan, hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Sabah Selasa lalu mengumumkan semua aktiviti transhipment dihentikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19.

Mengulas lanjut mengenai PKP, Mohd Azhar berkata, 90 peratus warga Sandakan mematuhi arahan berkenaan.

Op Covid-19 itu turut disertai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Pasukan Polis Marin (PPM) serta petugas media. - Harian Metro

Loading...
Share This