Khamis, 19 Mac 2020

Polis KK tingkatkan rondaan, sekataan jalan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) meninjau ke lokasi sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 mulai 18 Mac hingga 31 Mac ini sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 di Jalan Kepayan, malam tadi.
KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu terus melipat gandakan usaha rondaan dan sekatan jalan raya di daerah ini bagi memastikan masyarakat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata sekatan jala raya ini dijalankan di beberapa lokasi di daerah ini dan begitu juga dengan rondaan bersepadu seperti Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV).

“Rondaan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah dijalankan sejak semalam dan mendapati ada premis yang dibuka dan kita arahkan ditutup dan mereka mematuhinya.

“Jadi usaha rondaan akan dilipat gandakan dan hari ini (malam tadi) sekatan jalan raya kita laksanakan bagi menasihati orang awam untuk pulang dan berehat di rumah dan tidak mengambil kesempatan untuk merayau-rayau tanpa tujuan tertentu sepanjang pelaksanaan perintah berkenaan.

“Setakat ini, polis bagi nasihat orang awam yang masih berdegil selepas nasihat, kita bagi amaran. Jadi sekiranya keadaan mendesak bagi tujuan membasmi sepenuhnya penularan Covid-19, polis akan mengambil tindakan drastik tangkapan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Habibi berkata bilik gerakan IPD Kota Kinabalu sudah dibuka sejak jam 8 pagi semalam untuk mengawal dan memantau segala yang berkaitan dengan Covid-19.

“Bilik gerakan ini kita dapat sama-sama memastikan pencegahan dari segi keselamatan dapat dilakukan dengan kekuatan anggota di setiap balai polis yang mana kekuatannya satu pegawai lapan anggota.

“Jadi di Kota Kinabalu ada sembilan Balai Polis yang akan menjalankan tugas rondaan keselamatan secara berterusan sehinggalah kita yakin masyarakat di luar sana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Image may contain: one or more people, people standing, car, night and outdoor
Sementara itu, Habibi turut menasihati orang ramai yang menggunakan media sosial seperti blog, facebook, twitter supaya tidak menyampaikan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

“Kita akan ambil tindakan jika mana-mana individu didapati menyampaikan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.

“Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – SabahNewsToday

Loading...
Share This