Rabu, 18 Mac 2020

Pelantikan Rahim satu pengiktirafan

RAHIM BAKRI
KOTA KINABALU: Pelantikan Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri untuk menganggotai semula Kabinet Persekutuan dianggap sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan dalam memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kewangan 1.

Beliau menyertai barisan Kabinet selang lima tahun selepas diumumkan menjawat jawatan berkenaan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Rahim berkata, jawatan Timbalan Menteri Kewangan 1 adalah untuk menyokong dan menolong Menteri Kewangan baharu yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB dan seorang tokoh korporat bukan politik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, pelantikan Zafrul sudah tentu membawa dinamisme yang berbeza mengikut pengalaman dan latar belakang beliau.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kudat ini mencatat rekod sebagai Ahli Parlimen Kudat yang pertama memegang jawatan menteri kanan dalam kerajaan sebanyak empat kali iaitu Kementerian Kewangan, Pertahanan, Pengangkutan, dan Luar Negara.

Beliau menganggap ia adalah pengiktirafan terhadap latar belakang dan profesionalismenya di samping kesediaan memikul amanah dengan integriti.

Sebagai wakil rakyat kawasan luar bandar dan berasal dari luar bandar, beliau menjiwai kehidupan rakyat marhaen bawahan dan bertekad berusaha memenuhi aspirasi dan harapan rakyat walaupun dengan keterbatasan.

Rahim turut mahu rakyat berada dalam arus perdana pembangunan negara dan memperolehi agihan projek pembangunan yang lebih rancak serta berfaedah untuk rakyat.

Beliau sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan terpenting.

"Cabaran negara akibat serangan COVID-19 menyebabkan berlaku perang perdagangan yang menjejaskan ekonomi global khususnya China.

"Selain itu, kejatuhan harga komoditi khususnya minyak sedikit sebanyak memberi cabaran kepada kerajaan memerintah.

"Dari satu sudut cabaran politik juga perlu ditangani dan diharap mereka di pihak pembangkang dapat memberi kerjasama dan membantu menstabilkan keadaan supaya negara dapat melepasi ujian ini," katanya dalam kenyataan di sini. - Utusan Borneo

Loading...
Share This