Selasa, 31 Mac 2020

Padah tumbuk doktor

TAWAU: Tindakan seorang lelaki menyerang dan menumbuk seorang doktor membawa padah selepas ditahan di hadapan balai Polis Bombalai, di sini, semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 4 petang selepas mangsa berusia 31 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.

Sumber memberitahu, dalam kejadian kira-kira 12.20 tengahari itu, mangsa yang bertugas di sebuah Klinik Kesihatan dekat sini, sedang memeriksa seorang pesakit sebelum didatangi lelaki tidak dikenali.

Katanya, lelaki itu memaklumkan adiknya terbabit dalam kemalangan jalan raya dan mangsa memintanya untuk menunggu sebentar kerana sedang merawat pesakit lain.

“Ketika mangsa membuka pintu untuk memberi bantuan, suspek bertindak mencekik leher dan menumbuk pipi mangsa.

“Dalam keadaan marah, suspek juga memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat selain mengugut mangsa dengan berkata, “kalau terjadi apa-apa ke atas adik saya, saya akan mencederakan awak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506/523 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. - Berita Harian

Loading...
Share This