Selasa, 24 Mac 2020

Lelaki ditahan ingkar arahan PKP di Kota Kinabalu

Kenderaan suspek
KOTA KINABALU: Sudahlah tiada lesen, keluar sesuka hati malah memaki anggota polis yang bertindak menahan kereta dipandunya ketika sekatan jalan raya Op Covid-19, di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek berusia 33 tahun yang memandu kereta jenis Iswara Aeroback bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari Manggatal ke Kota Kinabalu.

Setiba di sekatan jalan raya di Batu 7, berhampiran sebuah pasar raya, kereta dipandunya ditahan anggota polis yang tujuan pemeriksaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika diperiksa, pemandu itu tidak memiliki lesen memandu menyebabkan anggota bertugas mengeluarkan saman.

“Suspek (pemandu) keluar dari kereta dan mempertikaikan tindakan polis dengan suara yang tinggi dan anggota polis dengan baik kemudian menerangkan kesalahan yang dilakukan.

“Tetapi suspek tidak dapat terima kenyataan. Suspek mula marah-marah apabila polis meminta rakannya keluar daripada kereta kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, selepas itu suspek berang lalu meluru ke anggota polis dan memarahi dengan kata-kata kesat.

“Suspek turut bertindak agresif apabila menumbuk bonet keretanya dengan kuat.

“Bagi mengawal keadaan anggota polis bertindak menahan suspek terbabit dan merampas kereta dipandunya,” katanya.

Habibi memeriksa kenderaan ketika sekatan jalan raya dibuat. Gambar SNT/Ihsan IPD KK
Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas pejawat awam. – SabahNewsToday

Loading...
Share This