Isnin, 23 Mac 2020

11 ke positif Covid-19 di Sabah hari ini

KOTA KINABALU: Sebelas kes positif Covid-19 baharu direkodkan hari ini dengan lapan daripadanya di Tawau, menjadikan jumlah kes positif di Sabah kepada 169 setakat 23 Mac.

Selain Tawau, kes positif lain dilaporkan di Kota Kinabalu (2) manakala satu lagi di Lahad Datu pada hari ini yang juga hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan.

Menurut Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat daripada 169 kes positif tersebut satu kematian telah dicatatkan di Tawau pada 20 Mac melibatkan seorang lelaki berusia 58 dan merupakan kalangan kluster jemaah tabligh.

Catatan kes positif Sabah merupakan ketiga tertinggi dalam negara selepas Selangor (354 kes) dan Kuala Lumpur (242 kes).

Setakat ini, kes positif tertinggi di Sabah dilaporkan di daerah Tawau dengan 48, diikuti Lahad Datu dengan 34, Kota Kinabalu (24), Tuaran (12), Sandakan dan Kinabatangan masing-masing 11 kes, Beaufort (6), Kota Belud dan Kunak masing-masing lima kes, manakala Sipitang dan Putatan masing-masing empat kes, dua kes di Papar dan Ranau manakala satu kes di Semporna.

Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan melaporkan bahawa jumlah kematian di seluruh negara akibat Covid-19 meningkat kepada 14 dengan tiga direkodkan pada hari ini.

Kes positif baharu dikesan di seluruh negara pada 23 Mac ialah 212 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 1,518.

Daripada 212 kes baharu itu, 123 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Pada masa sama turut dilaporkan 20 lagi pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 159.

Dalam pada itu, 57 pesakit sedang dirawat dalam Unit Penjagaan Rapi (ICU).

Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan serta mengamalkan penjagaan kebersihan sendiri.-SabahNewsToday

No photo description available.

Loading...
Share This