Khamis, 19 Mac 2020

Kompleks membeli-belah utama di Sabah ditutup sementara

KOTA KINABALU: Kompleks membeli-belah utama di pusat bandaraya ini ditutup sementara secara sebahagian dan sepenuhnya selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (RMO) yang diumumkan Perdana Menteri pada Isnin.

Antara kompleks yang ditutup sepenuhnya adalah Kompleks Wisma Merdeka dan Suria Sabah.

Sementara sebahagian kedai yang menyediakan perkhidmatan termasuk bekalan makanan, farmasi, supermarket,  bank dan kedai serbaneka di kompleks membeli-belah di Imago, KK Plaza, Centre Point, City Mall, 1Borneo, Pusat Teknologi & Komersil Antarabangsa (ITCC) Penampang, Megalong Penampang dan Oceanus beroperasi seperti biasa.

Pihak pengurusan semua kompleks membeli-belah masing-masing mengeluarkan notis pemberitahuan itu menerusi laman Facebook rasmi.

Langkah itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (RMO) yang berkuatkuasa pada 18 hingga 31 Mac di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis (Akta 344) berikutan ancaman wabak Covid-19.

Setakat semalam, dua kematian direkodkan di Malaysia membabitkan peserta perhimpunan tabligh berusia 34 tahun di Johor dan seorang pastor berusia 60 tahun di Sarawak.

Kes positif Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara meningkat kepada 673 kes setakat semalam, termasuk 49 kes yang telah sembuh.

Di Sabah sehingga semalam, 82 kes positif Covid-19 dilaporkan berikutan pertambahan 25 kes baharu. - Borneo Today

Loading...
Share This