Ahad, 22 Mac 2020

COVID-19: Sabah buka 5 pusat kuarantin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membuka lima pusat kuarantin di beberapa daerah bagi menempatkan pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata pusat kuarantin berkenaan dibuka sejak 16 Mac lalu.

“Lima pusat kuarantin itu ialah Rumah Rehat Ranau, Rumah Rehat Kinabatangan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu, Projek Perumahan Rakyat Batu Putih Sandakan dan Kompleks Belia Tawau.

“Langkah ini adalah salah satu inisiatif yang diambil, selain mengadakan wad pengasingan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Safar berkata, barangan keperluan dan makanan di Sabah tidak mengalami sebarang gangguan bekalan, ketika ini.

“Ia dijangka mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) Sabah sudah melakukan pemantauan.

“Kita mendapati semua barang keperluan masih banyak dan belum ada sebarang laporan berkaitan gangguan bekalan,” katanya.

Safar berkata, kerajaan negeri juga sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sabah untuk menjalankan penguatkuasaan ke atas premis bukan menjual barang keperluan harian mahupun makanan yang tidak menutup operasi.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga atau pemilik premis mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

Loading...
Share This