Ahad, 22 Mac 2020

COVID-19: Itali catat hampir 5,000 korban, tertinggi di dunia

Petugas perubatan saling memberi sokongan dan semangat dalam saat genting berdepan penularan pandemik COVID-19 di Itali. - FOTO AFP
ROM: Kematian akibat penularan wabak COVID-19 di Itali melonjak sebanyak 793, semalam, sekali gus menyaksikan jumlah korban mencecah hampir 5,000 mangsa yang juga kadar tertinggi di dunia, setakat ini.

Angka kes kematian itu adalah peningkatan terbesar dalam tempoh sehari sejak virus itu muncul di Itali, bulan lalu, dengan seramai 4,825 telah maut selepas negara ini merekodkan jumlah korban mengatasi China pada Khamis lalu.

Agensi Perlindungan Awam memaklumkan, kes jangkitan juga meningkat daripada 47,021 kepada 53,578, dengan 2,857 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) berbanding 2,655 sebelum ini.

Dalam usaha mendesak terkini bagi membanteras pandemik COVID-19, Rom mengarahkan semua perniagaan mesti ditutup hingga 3 April depan.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada operasi yang penting untuk mengekalkan rantaian bekalan barangan keperluan di negara ini.

Perdana Menteri, Giuseppe Conte, menjelaskan hanya aktiviti pengeluaran yang penting dibenar untuk diteruskan sepanjang tempoh terbabit.

“Ini adalah krisis paling sukar dalam tempoh pascaperang kita,” katanya melalui satu rakaman video dalam Facebook.

Namun, Conte tidak memperincikan jenis perniagaan dan kilang yang disifatkan sebagai penting untuk keperluan negara ketika ini.

Kerajaan dijangka mengeluarkan satu dekri kecemasan, hari ini, bagi menguatkuasakan tindakan keras yang baharu dengan segera.

Pasar raya, farmasi, pos dan perbankan akan kekal dibuka, selain perkhidmatan awam penting termasuk pengangkutan diteruskan.

“Kita sedang memperlahankan enjin pengeluaran negara tetapi bukan menghentikannya,” kata Conte.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen, menegaskan tidak ada satu negara anggota pun boleh menghadapi ancaman COVID-19 bersendirian.

“Virus ini tidak mengenal sempadan dan EU akan menjadi lebih kuat apabila kita bersatu,” katanya kepada akhbar Corriere della Sera.

Kelmarin, Suruhanjaya EU menggerakkan pemeteraian rasmi perjanjian dicapai menteri-menteri kewangan blok itu pada 5 Mac lalu, bagi menggantung sementara peraturan belanjawan yang mengehadkan jumlah pinjaman, sekali gus membantu usaha Itali dan negara Eropah lain memerangi COVID-19.

Kegagalan Itali untuk mengurangkan hutang besar sebanyak 134 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lazimnya akan berdepan tindakan keras daripada eksekutif EU, namun von der Leyen menjelaskan bahawa terdapat perkara lain lebih utama ketika ini.

“Kerajaan Itali akan berupaya memperuntukkan sejumlah besar wang ke dalam ekonomi mengikut keperluan.

“Peraturan belanjawan yang biasa dikenakan, misalnya peraturan hutang, tidak akan berkuat kuasa pada ketika ini,” katanya. - REUTERS

Loading...
Share This