Selasa, 24 Mac 2020

Aktiviti, pergerakan di daerah panas COVID-19 di Sabah dihadkan serta-merta

Sabah kini berusaha sebaik mungkin untuk menangani penularan COVID-19 di Sabah yang kini mencatatkan jumlah pesakit positif ketiga tertinggi di Malaysia.
KOTA KINABALU: Aktiviti dan pergerakan di beberapa daerah lokasi panas COVID-19 di Sabah akan dihadkan serta-merta bagi menangani jumlah peningkatan kes wabak itu di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kawasan tumpuan seperti di beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Tawau dan Lahad Datu yang telah dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.

Antara langkah yang kini diambil pihak kerajaan adalah menghentikan pengoperasian serta-merta melibatkan ladang-ladang dan kilang-kilang di Lahad Datu dan Kalabakan (Tawau) selain menutup operasi Barter Trade di antara Pantai Timur Sabah dengan negara jiran.

Beliau berkata, di Kota Kinabalu, mengambil contoh pergerakan di Pulau Gaya yang terletak kira-kira 15 minit menuju ke pusat bandar turut akan dihadkan serta-merta.

"Di Kota Kinabalu contohnya di Pulau Gaya, kita kawal di Pulau Gaya, kawasan-kawasan ini supaya memastikan doktor kita berada di Pulau Gaya untuk kenalpasti dan kuarantin di kawasan yang ada dan suspek di kawasan itu.

"Pendekatan ini bagi membolehkan pergerakan mereka dan kita hadkan buat seketika," katanya.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri kini berusaha sebaik mungkin untuk menangani penularan COVID-19 di Sabah yang kini mencatatkan jumlah pesakit positif ketiga tertinggi di Malaysia.

Tambah beliau, sebuah bilik kawalan telah ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang akan beroperasi 24 jam sehari selain mewujudkan Pusat Perintah COVID-19 Sabah bagi mengawal setiap perkembangan berhubungnya dari semasa ke semasa. - Astro Awani

Loading...
Share This