Rabu, 18 Mac 2020

21 kes baharu positif COVID-19 di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat peningkatan kes positif COVID-19 dengan 21 kes baharu dilaporkan setakat jam 5 petang hari ini (18 Mac).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, jumlah berkenaan menjadikan kes terkumpul positif COVID-19 di negeri ini mencapai jumlah sebanyak 103 kes.

Katanya, daripada jumlah 21 kes baharu itu, Lahad Datu mencatatkan jumlah tertinggi dengan lapan kes baharu diikuti Tawau sebanyak tujuh kes baharu.

Menurutnya, Kinabatangan dan Kota Belud masing-masing merekodkan dua kes baharu manakala Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing dengan satu kes baharu.

Mengikut laporan dalam kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes positif COVID-19 di Sabah yang ketiga tertinggi direkodkan di Malaysia selepas Selangor dengan 192 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 119 kes.

Jumlah keseluruhan COVID-19 di Malaysia setakat jam 12 tengah hari pada 18 Mac 2020 adalah sebanyak 790 kes dengan rekod sebanyak 117 kes baharu.



Loading...
Share This