Khamis, 19 Disember 2019

Warga China antara ditahan terlibat judi dalam talian di Inanam

KOTA KINABALU, 19 Dis -- Polis Sabah menahan 33 individu termasuk warga China dipercayai menjalankan aktiviti judi dalam talian dalam serbuan di sebuah premis bangunan di Inanam pada 10 Disember lepas

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jas berkata daripada jumlah itu, 26 individu itu adalah warga China termasuk lima wanita, empat warga tempatan dan tiga lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri berumur antara 14 hingga 52 tahun.

“Dalam serbuan pada 9 malam di bangunan empat tingkat itu, polis berjaya merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian antaranya set komputer, telefon bimbit, meja dan wang tunai berjumlah RM20,280,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Zaini berkata polis turut menjumpai satu paket plastik lut sinar daripada salah seorang individu itu yang dipercayai dadah jenis methamphetamine seberat 0.67 gram.

Beliau berkata kesemua suspek telah disambung reman sehingga 30 Dis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 4 (1)(c)Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1963.

Sementara itu, di Lahad Datu berkata polis turut menahan lapan individu termasuk lima wanita warga asing dalam serbuan yang masing-masing di kedai runcit Batu 5, Jalan Segama dan di sebuah rumah di Jalan Silam antara jam 5 hingga 7.30 malam, malam tadi.

Katanya, kesemua mereka berumur antara 17 hingga 59 dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan penjualan nombor loteri awam tanpa lesen.

“Polis telah merampas telefon bimbit, tablet, dan wang tunai berjumlah RM533 dan kesemua mereka ditahan untuk disiasat lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaini berkata polis telah mengenalpasti suspek yang dipercayai melakukan perbuatan khianat apabila sebuah premis dibakar di Bangunan T1, Jalan Bundusan Penampang pada 9 Dis lepas kira-kira jam 12.55 tengah malam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipremis berkenaan mendapati tiga orang suspek dipercayai terlibat dalam perbuatan itu.

“Suspek juga dipercayai berumur dalam lingkungan 40an terlibat dalam kejadian meletupkan sebuah kawasan dibangunan yang sama pada 15 Dis lepas jam 9.30 pagi,” katanya.

-- BERNAMA

Loading...
Share This