Ahad, 22 Disember 2019

Usahawan tempatan perlu berani bekerjasama dengan pelabur asing

Kota Kinabalu: Usahawan tempatan khususnya di Sabah perlu berani untuk bekerjasama dengan pelabur asing bagi memasarkan produk luar negeri kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan sumber ekonomi negeri ini.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun ekonomi negara dilihat kurang memberangsangkan namun ia mampu menarik minat pelabur luar dalam skala kecil.

“Kemasukkan beberapa produk luar seperti dari Korea ini dilihat sebagai satu manifestasi keyakinan pelabur luar negeri untuk membawa produk mereka di Sabah.

“Mereka (pelabur) juga amat yakin suasana perniagaan di negeri ini mampu melariskan produk mereka terutama produk kosmetik selain mampu meningkatkan ekonomi Sabah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Produk Kosmetik Eunsoo dari Korea yang pertama dilancarkan di Malaysia, disini, kelmarin.

Masidi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, kemasukkan produk luar seperti Korea ini turut mampu menarik minat pelancong dari negara itu untuk melancong ke Sabah.

“Sabah adalah negeri yang menjadi tumpuan pelancong Korea untuk melancong ke sini dan dengan adanya produk seperti ini, ia juga mampu meningkatkan hasil ekonomi peniaga dan usahawan yang memasarkan produk negara itu,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, isu tanah runtuh khususnya di beberapa kawasan di Kundasang yang berlaku adalah melibatkan perkara teknikal.
“Mungkin ramai yang tidak faham bahawa tanah sekitar Kundasang dan Gunung Kinabalu adalah agak ‘longgar’ dan terdapat pergerakan tanah.

“Seperti yang berlaku baru-baru ini, ia dilihat runtuhan dan kerosakan yang besar sampai 200 meter selain ia juga kerosakan major dan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki sepenuhnya,”katanya.

Sementara itu, Masidi turut mengalu-alukan cadangan Menteri Pembangunan Infrastuktur Datuk Peter Anthony bagi pembinaan terowong di kawasan lereng bukit bagi mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Sabah pada masa akan datang.

“Walaubagaimanapun, kita perlu melihat bagaimana kemampuan kita untuk membiayainya kerana membina terowong ini adalah satu isu teknikal selain bukan mudah termasuk kos yang agak besar berbanding dengan pembinaan jalan raya konvensional,”katanya.

Loading...
Share This