Sabtu, 21 Disember 2019

UMNO sedia hadapi lawan dalam PRK Kimanis

KIMANIS: Umno dan Barisan Nasional (BN) sedia berhadapan dengan parti lawan dalam PIlihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis walaupun mereka merupakan parti kerajaan yang memerintah.

Ketua Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata keadaan ini tidak akan melemahkan semangat serta perjuangan pemimpin dan ahli Umno serta BN negeri itu sambil menambah rakyat khususnya di Kimanis sudah matang dan tahu menilai kerajaan hari ini.

Bung Moktar menegaskan Umno akan menggunakan kekuatan ahli akar umbi dan rakyat untuk memenangi PRK Parlimen Kimanis kali ini.

“Rakyat berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah terutamanya kos sara hidup yang semakin meningkat, soal kenaikan harga petrol, peluang pekerjaan pembangunan dan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan dikurangkan.

“Hampir dua tahun kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan memerintah rakyat sudah tentu bijak menilai pencapaian mereka terutamanya dalam menunaikan janji janji dalam manifesto semasa PRU ke 14 termasuk dalam soal  menjaga kebajikan  rakyat ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengaih-agihkan peralatan kempen pilihan raya kepada ketua-ketua Pejabat Daerah Mengundi (PDM) di Pejabat UMNO Bahagian Kimanis, semalam.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata sebelum ini kerajaan BN telah menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat yang amat memerlukan.

“Kami berharap rakyat jelata, khususnya pengundi di Kimanis akan turut bersama Umno dan Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan dan memberi tekanan kepada Warisan,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Warisan bersama gabunganya tidak membawa apa apa perubahan dan mempunyi hala tuju yang jelas  dalam berbagai sudut seperti ekonomi, pembangunan seimbang dan kesejahtaraan kepada rakyat di luar bandar .

“Pembangunan yang ada sekarang adalah legasi yang ditinggalkan dari perjuangan kerajaan BN sebelum ini termasuk di Kimanis ini… apa yang mampu kerajaan hari ini lakukan mereka hanya berbangga  merasmikanya tapi gagal merancang dan melaksanakan pembangunan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” tegas Bung.

Ditanya mengenai calon yang bakal diletakkan Umno pada PRK kali ini, Bung berkata mereka sudah mempunyai senarai nama calon yang akan diputuskan dan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum penamaan calon.

” Kita sudah ada senarai calon yang dikenal pasti yang sudah tentu boleh diterima rakyat. Yang penting  jangan melihat individu calon tapi lihat perjuangan parti untuk membela rakyat,” katanya. – SabahNewsToday

Loading...
Share This