Rabu, 25 Disember 2019

Umno harap satu lawan satu dengan Warisan di PRK Kimanis

KOTA KINABALU: Umno Sabah berharap bekas parti komponen Barisan Nasional, Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan menyertai Pilihan Raya Kecil Kimanis pada bulan depan sebagai balasan ia tidak bertanding dalam PRK Sandakan Mei lalu.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengesahkan terdapat mesyuarat tidak rasmi antara kedua-dua parti itu, di mana partinya berharap PBS tidak akan bertanding di sana.

“Perbincangan ini sangat positif. Kami akan jadikan ia rundingan rasmi tidak lama lagi,” katanya sambil menambah perbincangan lanjut akan diadakan di luar parti Krismas hari ini.

Umno Sabah bercadang mengumumkan calonnya pada 1 Jan ini.

PBS belum memutuskan jika ia akan bertanding dalam PRK itu yang diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman pada pilihan raya umum tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Jumaat lalu, Presiden PBS, Maximus Ongkili dilaporkan yakin parti itu akan mendapat sokongan besar daripada akar umbi di Kimanis.

“Jika kita memutuskan untuk tidak bertanding, PBS akan menyokong mana-mana parti politik yang berjuang melindungi hak negeri sebagaimana termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akan memastikan keselamatan Sabah serta mempertahankan negeri ini daripada dibanjiri pendatang asing tanpa izin.”

Umno menyokong calon PBS, Linda Tsen yang menentang Vivian Wong daripada DAP pada PRK Sandakan Mei lalu.

Ongkili dilaporkan berkata, PBS tidak berhutang budi kepada mana-mana parti politik kecuali rakyat.

Terdapat 29,664 pengundi berdaftar di Kimanis, dengan 52% terdiri daripada pengundi Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan orang Cina kira-kira 6%. - Free Malaysia Today

Loading...
Share This