Rabu, 25 Disember 2019

Toleransi, penerimaan tonggak utama perpaduan Sabah - Daud

PAPAR, 25 Dis  — Sikap bertoleransi, menghormati dan menerima perbezaan antara satu sama lain menjadi tonggak utama perpaduan kaum di Sabah meskipun hidup dalam kepelbagaian bangsa, kepercayaan agama serta fahaman politik, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Dr. Daud Yusof.

Daud berkata walaupun ada ketikanya rakyat bertelagah pendapat terutama pada pilihan raya, namun, apabila tiba sambutan perayaan, masing-masing masih boleh duduk semeja bersama dan tidak menjadikan perbezaan fahaman sebagai halangan untuk mengeratkan silaturrahim.

“Kelebihan dimiliki rakyat Malaysia di Sabah ialah mereka menghormati semua perayaan tanpa sebarang prasangka. Kita memiliki tolak ansur yang tinggi dan hidup dalam suasana muhibah.

“Ini adalah nilai sangat berharga dan perlu dipelihara oleh semua pihak,” katanya kepada Bernama, di sini bersempena sambutan Krismas hari ini.

Duad juga berkata budaya mengutus kad ucapan perayaan yang diamalkan sejak sekian lama perlu diteruskan kerana ia masih relevan bagi memperkuatkan lagi ikatan kesatuan dan perpaduan sedia terjalin.

— BERNAMA

Loading...
Share This