Selasa, 24 Disember 2019

Tak sempat jual kambing curi

KAMBING peliharaan yang dicuri suspek disyaki untuk dijual kepada pelanggan turut dirampas dalam Ops Krismas di Kampung Tempasuk, Kota Belud. FOTO Ihsan PDRM
TINDAKAN empat lelaki cuba meraih keuntungan dengan menjual kambing yang dicuri membawa padah apabila dicekup polis dalam Ops Krismas, di Kampung Tempasuk, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, dua daripada empat suspek bertindak cuba melarikan diri menggunakan kereta yang dipandu, namun terbabas sebelum menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati empat lelaki berusia 30 hingga 56 tahun itu sedang melakukan aktiviti jual beli bersama pelanggan dengan menyerahkan tiga ekor kambing yang disyaki dicuri.

“Bagaimanapun, semua suspek menyedari kehadiran anggota polis sebelum masing-masing bertindak melarikan diri menggunakan dua kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Polis kemudian mengejar dua kenderaan yang dinaiki suspek sehingga sejauh lima kilometer sebelum kenderaan pertama berjaya dipintas, manakala sebuah lagi terbabas di Kampung Sembirai,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd Zaidi, siasatan turut mendapati kumpulan suspek pernah terbabit kes mencuri haiwan peliharaan lembu, tong gas serta pecah rumah di daerah ini sejak 2018.

“Kedua-dua kenderaan dinaiki suspek bersama tiga telefon bimbit serta tiga ekor kambing dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Oleh Recqueal Raimi, Harian Metro

Loading...
Share This