Jumaat, 20 Disember 2019

Sumpah laknat: "Saya tidak pernah jumpa, tidak mengenali Altantuya" - Najib Razak

Najib Razak melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengangkat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitan beliau dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pukul 2.15 petang, hari ini.

Beliau mengangkat lafaz sumpah di dalam masjid sejurus selepas selesai solat Jumaat.

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut.

“Alhamdulillah, sejak saya memasuki usia taklif hingga ke saat ini, saya tidak pernah mengarahkan mana-mana individu untuk membunuh seorang wanita warganegara Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu.

“Malah saya tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali mendiang sama sekali. Jika saya berdusta, maka laknatlah Allah SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT,” kata Najib melafazkan sumpah berkenaan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.

Ahli Parlimen Pekan itu diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah serta dua orang anaknya, Mohd Nizar Mohd Najib dan Nooryana Najwa.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta dua orang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib melakukan sumpah laknat itu bagi menafikan dakwaan Azilah Hadri berhubung pembabitan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya. - ASTRO AWANI


Loading...
Share This