Jumaat, 20 Disember 2019

SESB nasihat pengguna patuhi panduan keselamatan elektrik ketika banjir

KEADAAN Banjir yang melanda Tenom semalam
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan mematuhi panduan keselamatan elektrik semasa
banjir.

SESB dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan keadaan hujan dan banjir terdedah kepada bahaya pokok tumbang atau dahan patah yang akan menghempap wayar elektrik.

Sekiranya keadaan ini berlaku orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri, menyentuh atau mengalihkan wayar elektrik yang terputus dan berada di atas tanah atau di dalam air kerana dawai elektrik tersebut mungkin masih mengalirkan arus elektrik.

Sekiranya kawasan kediaman dinaiki banjir, orang ramai diminta segera berpindah dan menutup semua suis utama kediaman dan menyimpan peralatan elektrik di tempat tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.

SESB juga akan mengambil langkah mematikan sementara saluran bekalan elektrik di lokasi yang dialami banjir bagi mengelakkan arus litar pintas.

Bekalan akan dihidupkan semula apabila banjir beransur surut ke paras yang selamat.


SESB turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh peralatan atau suis elektrik dengan tangan yang basah serta memastikan peralatan elektrik yang terendam dalam air semasa banjir diperiksa dan diuji oleh kontraktor elektrik yang bertauliah sebelum ia digunakan semula.

SESB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan sebarang situasi membahayakan perlu dilaporkan segera kepada Pusat Pengurusan Panggilan SESB di talian 1-5454, 088- 515000 dan 019-8525427. - UTUSAN BORNEO

Loading...
Share This