Sabtu, 21 Disember 2019

Sektor pertanian Kimanis dalam radar pembangunan kerajaan

BONGAWAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan membuat penyelidikan intensif sepanjang tahun 2020 untuk mengenal pasti bidang yang boleh dibangunkan di sekitar kawasan Kimanis.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusof berkata, penyelidikan awal akan membolehkan kementerian meneliti pelbagai aspek secara menyeluruh sebelum melaksanakan projek-projek tertentu.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa membuat sesuatu tanpa melihat implikasinya di kemudian hari.

“Kita mahu agar tempoh setahun itu digunakan untuk penyelidikan awal agar kita dapat berbincang mengenai cara pelaksanaan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Borneo Today selepas sesi dialog bersama penduduk Kimanis di sini hari ini.

Sesi dialog itu merupakan inisiatif Parti Warisan Sabah (Warisan) di mana penduduk Kimanis boleh menyuarakan isu-isu berkaitan pertanian di situ kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.

Ulasnya, kementerian itu telah membuat perancangan untuk merancakkan lagi industri padi dan tanaman buah-buahan di kawasan itu pada tahun 2020.

“Kita juga merancang untuk membangunkan lebih kurang 80 ekar tanah untuk pertanian dan kita akan minta agar para belia yang berada di kategori B40 untuk menerokai bidang ini.

“Selepas itu, kita akan melihat di mana kecenderungan belia-belia kita ini dan kemudian kita akan memberi mereka peluang untuk mengusahakan tanah yang kita sediakan,” jelasnya.

Kata beliau, pembinaan jeti dan penubuhan bazar antarabangsa juga adalah antara rancangan pembangunan pertanian dan industri makanan yang lain untuk kawasan Kimanis.

“Kita mahu membina jeti khas untuk nelayan di mana mereka boleh memasarkan hasil mereka selain menjual pelbagai produk lain (di bazar antarabangsa tersebut).

“Konsep ini sama seperti pasar terapung di Thailand di mana penjual menggunakan perahu untuk menjual hasil mereka, dan inilah konsep yang mahu diterapkan oleh kerajaan agar dapat menarik lebih ramai pengunjung,” kata Daud.

Di samping itu, beliau juga menjelaskan bahawa bazar itu boleh menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan Sabah di mana pelancong boleh datang dan melihat sendiri bagaimana penduduk tempatan di situ mengendalikan perniagaan perikanan mereka.

“Perancangan ini harap dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12; sebaik-baiknya pada tahun 2021." - Borneo Today

Loading...
Share This