Rabu, 25 Disember 2019

Sakit kepala berminggu, rupanya sifilis dah ke mata

Antara gejala sifilis
SYDNEY: Seorang lelaki berusia 39 tahun dari Australia disahkan terkena jangkitan sifilis pada mata selepas mengalami sakit kepala selama tiga minggu.

Kesakitannya semakin teruk apabila dia menggerakkan bola mata namun penglihatannya dilaporkan masih normal.

Menurut laporan perubatan, doktor mendapati saraf optik yang menghantar maklumat ke otak pesakit telah membengkak.

Ujian lanjut yang dilakukan menunjukkan pesakit didiagnosis dengan sifilis, sejenis jangkitan seksual yang disebarkan daripada alat kelamin dan mampu merebak ke seluruh tubuh jika tidak dirawat.
Difahamkan, lelaki itu telah melakukan pelbagai ujian perubatan termasuk mengambil cecair dari tulang belakangnya sebelum ujian darah mendedahkan bakteria penyebab jangkitan tersebut.

Jurucakap Hospital Mata Sydey, Jason Yosar berkata, jangkitan mata hanya berlaku sekurang-kurangnya satu daripada 100 orang yang dijangkiti penyakit itu.

"Sifilis mesti dianggap sebagai diagnosis dalam semua kes pembengkakan saraf optik dan rawatan awal dengan penisilin tetap berkesan dengan kadar penyembuhan yang tinggi," katanya.

Sifilis berpunca daripada bakteria Treponema pallidum dan biasanya disebarkan oleh seks bebas. - Agensi

Info Tentang Sifilis

Ia antara penyakit kelamin berbahaya yang tersebar melalui hubungan jenis secara oral, dubur dan vagina atau kehamilan (daripada ibu kepada bayi) yang berpunca daripada organisma, ‘spirochere’.

Sifilis terbahagi kepada empat peringkat:

Peringkat pertama

• Ulser kemerahan yang tidak menyakitkan berlaku pada vagina, dubur, penis dan mulut dipanggil ‘syanker primer ‘ akan hilang selepas beberapa minggu.

• Kelenjar limfa membengkak.

• Individu yang terdedah kepada sifilis mungkin tidak perasan kewujudan ‘syanker’ yang timbul selepas tiga hari hingga tiga bulan kemudian.

Peringkat ke-2

• Seandainya peringkat pertama tidak dirawat, ruam akan timbul pada bahagian badan, tapak tangan serta kaki.

• Ulser juga boleh timbul di kawasan bibir, mulut, kerongkong, vagina dan dubur. Pada masa sama, gejala seperti selesema, demam dan sakit badan berlaku.

• Situasi ini boleh berlaku selama satu hingga dua minggu dan akan hilang walaupun tanpa rawatan.

Peringkat ke-3

• Jika tidak dirawat pada peringkat awal, pesakit menghidapi penyakit sifilis tanpa apa-apa simptom dan ia boleh berlarutan selama beberapa tahun. Namun, penyakit ini boleh dikesan menerusi ujian darah.

Peringkat ke-4

• Seandianya tiada rawatan, sifilis boleh melarat ke peringkat lebih teruk apabila kuman ‘spirochetes’ merebak ke seluruh badan merangkumi otak, jantung, saraf tunjang dan tulang.

• Lebih teruk, pesakit akan mengalami gejala seperti kesukaran untuk berjalan, berasa kebas, buta dan kematian.

Kesimpulannya, sifilis sangat berbahaya sekiranya tidak dirawat. Ini termasuk golongan ibu hamil yang menjangkiti bayinya dan mengakibatkan kecacatan teruk pada bayi sejak lahir.

Loading...
Share This