Ahad, 29 Disember 2019

Sabah catat lapan kes H1N1 sejak 15 Disember lalu

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
KOTA KINABALU: Lapan kes Influenza A (H1N1) dikesan di Sabah dalam kalangan kanak-kanak yang dilaporkan sejak 15 Disember sehingga semalam.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, berkata semua mangsa dilaporkan stabil, dengan kes membabitkan kanak-kanak berusia antara satu hingga 12 tahun.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesahkan lapan kes H1N1 dikesan di negeri ini dan sudah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan berkenaan.

“Pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza A dan cara mengelak jangkitan turut diberi kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu adalah susulan wabak H1N1 dalam kalangan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti di sebuah pusat beli-belah di sini, tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

H1N1 adalah jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak dan batuk, selain kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan.

Demam selsema mudah berjangkit melalui udara dengan titisan cecair daripada mulut dan hidung ketika bercakap, batuk atau bersin.

Sehubungan itu, Ming Fung berkata, orang ramai yang mengalami gejala terbabit dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran.

Katanya, orang awam dan golongan berisiko tinggi digalak mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri.

Oleh Suzianah Jiffar, Berita Harian

Loading...
Share This