Selasa, 24 Disember 2019

Ribut tropika Phanfone jejas sambutan Krismas di Filipina

MANILA: Persiapan sambutan Krismas ribuan penduduk di Filipina terjejas selepas mereka diarahkan untuk meninggalkan kediaman masing-masing ketika ribut tropika semakin menghampiri.

Pihak berkuasa pada petang sambutan Krismas berkata, orang ramai perlu menjauhi kawasan pantai dan ribuan yang masih terkandas di pelabuhan disebabkan perkhidmatan feri dihentikan ketika negara itu dilanda hujan lebat dan angin kuat.

Perkhidmatan cuaca negara dalam satu kenyataan berkata, angin kencang diramalkan melanda kawasan pantai Asia Pasifik pada sebelah petang sebelum ribut tropika Phanfone dijangka melanda Pulau Samar pada 5.00 petang.

Walaupun sedikit lemah, Phanfone mengikut jejak yang sama seperti Taufan Haiyan, melanda negara itu hingga menyebabkan lebih 7,300 orang terkorban atau hilang pada 2013.

Semua kapal yang dijadualkan melalui laluan tengah pulau diarahkan untuk berlabuh di pelabuhan, sementara pihak berkuasa tempatan memberitahu penduduk di kawasan pantai termasuk kawasan mudah banjir dan tanah runtuh agar berpindah ke tempat selamat.

“Terdapat segelintir keluarga yang tidak mahu berpindah kerana mereka mahu merayakan Krismas di rumah, tetapi pihak berkuasa tempatan terpaksa memindahkan mereka jika tidak mematuhi arahan,” kata pegawai pertahanan awam wilayah, Reyden Cabrigas. - AFP

Loading...
Share This