Khamis, 26 Disember 2019

Remaja PTI dijel 4 bulan masuk Sabah secara haram

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki asing yang bekerja sebagai penjual ikan, dipenjara empat bulan kerana memasuki negara ini secara haram.

Ridzmal Bin Saleh, 14, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Egusra Ali kerana melakukan kesalahan itu dan mengaku tidak mempunyai pas selama empat tahun lepas.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ridzmal, yang mempunyai satu lagi tuduhan terhadapnya iaitu menyamun satu telefon bimbit daripada seorang mangsa di sebuah kedai di Centre Point pada jam 9 malam 3 Disember tahun ini, mengaku bersalah kepada kesalahan itu.

Bagaimanapun, Egusra menolak pengakuan bersalah Ridzmal apabila tertuduh memberitahu Mahkamah bahawa dia hanya mengambil telefon itu dan tidak menyamun mangsa.

Susulan itu, Egusa menetapkan 8 Januari tahun depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menjalankan pendakwaan kes.

Tertuduh direman lanjut di bawah Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah (CPC). – Hayati Dzulkifli

Loading...
Share This