Khamis, 26 Disember 2019

Rakyat Kimanis sudah lama tolak UMNO - VK Liew

KOTA KINABALU: Keyakinan Umno untuk menakluk semula Kimanis melalui persaingan satu lawan satu dengan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis disifatkan sebagai angan-angan.

Presiden Tetap Warisan, Datuk Liew Vui Keong berkata, keyakinan Umno bahawa mereka berpeluang menang dalam PRK Kimanis hanyalah andaian mereka sahaja.

Beliau, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) berkata, rakyat Kimanis sudah menolak Umno semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, jika dilihat situasi semasa PRU lalu, kemenangan mereka (Umno) hanya tipis dan keputusan mahkamah membuktikan berlaku penipuan kertas undi.

“Sekiranya tiada penipuan, kerusi Kimanis telah dimenangi oleh Warisan. Jadi, saya yakin pada kali ini, pengundi Kimanis dapat menilai bagaimana Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkembang dan berjaya mengekalkan keharmonian dan keseimbangan dalam agenda politik Sabah.

“Inilah seorang pemimpin yang sesuai memerintah Sabah pada ketika ini dan saya yakin pengundi Kimanis tahu kebolehan Warisan dalam menerajui kerajaan.

“Siapa sahaja yang akan menjadi calon dalam PRK Kimanis dan memenangi kerusi parlimen itu akan menjadi ahli parlimen Warisan dan ini akan menguntungkan rakyat Kimanis.

“Jadi undilah dengan wajar pada 18 Januari depan,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Umno bahawa mereka akan berpeluang memenangi kerusi Parlimen Kimanis sekiranya ia melibatkan persaingan satu lawan satu antara calon Umno dan Warisan.

Liew berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas di kediamannya, di sini hari ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Bung Moktar berkata, persaingan satu lawan satu antara calon Umno dan Warisan memberi ruang kepada parti itu untuk menang sekiranya parti pembangkang seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) bekerjasama dengan mereka.

Dalam PRU ke-14, bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memenangi kerusi Parlimen Kimanis setelah memperolehi majoriti tipis 156 undi. Anifah mendapat 11, 942 undi melalui persaingan tiga penjuru menentang Datuk Karim Bujang daripada Warisan yang memperolehi 11,786 dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang mendapat 1,300 undi.

Namun, kemenangan Anifah diputuskan tidak sah dan terbatal pada 16 Ogos di Mahkamah Khas Pilihan Raya Sabah.

Anifah seterysnya memfailkan rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya itu di Mahkamah Persekutuan.

Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Sabah bahawa kemenangan Anifah tidak sah dan terbatal.

Kerusi Parlimen Kimanis diisytiharkan kosong bermula pada 10 Disember oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan PRK Parlimen Kimanis akan diadakan pada 18 Januari depan.

Loading...
Share This