Selasa, 24 Disember 2019

Raikan kepelbagaian adat, budaya dalam suasana harmoni

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah meraikan semua perayaan dalam suasana penuh harmoni dan semangat muhibah, malah kelebihan itu menjadikan negeri ini sangat unik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keterbukaan rakyat negeri ini menghargai kepelbagaian adat dan budaya itu menjadikan setiap perayaan diraikan, termasuk Krismas cukup bermakna.

“Ini perlu terus dipupuk, begitu juga budaya saling menghormati dan toleransi kaum yang membolehkan kita menyambut pelbagai perayaan dalam suasana harmoni. Jangan sesekali kita berbalah kerana kita semua rakyat Sabah. Kita meraikan kepelbagaian yang kita ada dari segi kaum dan budaya.

“Sabah sudah pasti tidak dapat dibangunkan jika kita berpecah. Jangan kita terpengaruh dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyemai kebencian dan rasa tidak percaya kepada kerajaan kerana ia boleh menjejaskan pembangunan serta kemajuan yang kita kecapi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Hari Krismas 2019, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, adalah menjadi hasrat beliau melihat rakyat negara ini, khususnya di Sabah terus bersatu dalam menghadapi apa juga cabaran.

“Sebagai hadiah Krismas tahun ini, saya juga mengisytiharkan cuti umum tambahan sehari bermula tahun ini. Ia menjadikan cuti Krismas selama dua hari di Sabah iaitu pada 24 dan 25 Disember. Kerajaan Sabah prihatin dan mengambil berat terhadap keperluan semua bangsa dan penganut agama di negeri ini.

“Cuti tambahan ini sebagai pengiktirafan sewajarnya buat penganut Kristian. Di kesempatan ini, saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua rakyat Malaysia, khususnya penduduk Sabah,” katanya.

Oleh Suzianah Jiffar, Berita Harian

Loading...
Share This