Rabu, 25 Disember 2019

Punca kesesakan luar biasa hampir enam jam di Jalan Ranau-Kundasang

Foto ihsan pengguna facebook
Gara-gara lori halang laluan

KOTA KINABALU: Kesesakan luar biasa sehingga hampir enam jam di jalan alternatif Kota Kinabalu-Pantai Timur di Jalan Kg Dumpiring antara Ranau-Kundasang, siang tadi, berpunca apabila sebuah lori treler mengangkut simen tergelincir dan menghalang laluan.

Ketua Polis Daerah Ranau DSP Sammy Newton berkata insiden itu menyebabkan jalan satu hala sahaja yang dibuka antara jam 11 pagi sehingga 4 petang di lokasi kejadian.


“Kita menghantar sepasukan polis dari IPD Ranau dan Balai Polis Kundasang ke lokasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Insp Cornelius Loipin.

“Bagaimanapun, keadaan trafik berjalan lancar semula selepas lori treler itu dialihkan pada sebelah petang,” katanya, ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sammy berkata pergerakan trafik perlahan pada sebelah malam di kawasan sama juga berlaku berikutan penambahan jumlah kenderaan yang mendadak.

Menurutnya, laluan berkenaan menjadi tumpuan kenderaan pengunjung yang bercuti ke Kundasang selain pengguna jalan antara Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

TRELER: Kesesakan teruk berlaku selepas sebuah lori treler mengangkut simen tergelincir sehingga menghalang laluan di Jalan Kg Dumpiring yang menghubungkan antara Ranau-Kundasang dan laluan alternatif Kota Kinabalu-Pantai Timur.
Kesesakan teruk berlaku selepas sebuah lori treler mengangkut simen tergelincir sehingga menghalang laluan di Jalan Kg Dumpiring yang menghubungkan antara Ranau-Kundasang dan laluan alternatif Kota Kinabalu-Pantai Timur.

“Kita menasihati pengguna jalan yang memandu jentera berat supaya menggunakan laluan dari Tambunan atau Marak Parak Kota Marudu kerana laluan itu lebih sesuai.

“Kita juga meminta semua pengguna jalan berhati-hati dan bersabar semasa mengikuti laluan alternatif kerana faktor cuaca hujan dan keadaan jalan yang sempit,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, netizen-netizen yang terperangkap di dalam kesesakan jalan itu, turut memuat-naik gambar dan video suasana yang berlaku di media sosial.

Oleh Amir Anuar, Utusan Borneo

Loading...
Share This