Isnin, 23 Disember 2019

PSS pengganti tiga jenis dokumen terdahulu: Peter

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony
TENOM: Kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) tiada niat disebaliknya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata, tujuan PSS ini dilaksanakan adalah bagi menyediakan sistem maklumat yang dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari pemegangnya bagi menggantikan dokumen Kad Burung-Burung, Sijil Banci dan IMM13 yang telah dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu katanya, pemegang PSS juga tidak akan diberikan dokumen warganegara sampai bila-bila.

“Tujuan sebenarnya PSS ini adalah semata-mata untuk menggantikan dokumen Kad Burung-Burung, Sijil IMM13 dan juga Sijil Banci yang dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu.

“Sebenarnya tujuan pewujudan PSS ini adalah baik disebabkan selain daripada mendapat maklumat terperinci berkaitan dengan di mana mereka ini berada, disamping merekodkan keseluruhan maklumat yang ada pada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Santai Krismas Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pamilan di Dewan Pisompuruan Kampung Ulu Tepoh, di sini pada Sabtu.

Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) turut menegaskan kepada pihak pembangkang agar pelaksanaan PSS ini tidak dijadikan sebagai isu politik sehingga mengelirukan rakyat dengan memberi tanggapan bahawa kerajaan seolah-olah memberi dokumen kewarganegaraan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui pelaksanaan PSS ini.

Sehubungan dengan itu katanya, beliau menasihati masyarakat agar tidak terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mempolitikkan pelaksanaan PSS ini demi kelangsungan politik mereka sendiri.

Kerajaan bakal melaksanakan pengeluaran PSS bermula 1 Jun 2020 bagi menggantikan tiga jenis dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing yang tinggal lama di Sabah. Sementara pada majlis itu, turut diadakan penyampaian borang kemasukan sebagai ahli Parti Warisan seramai 280 ahli baharu.

OLEH RIZALMI LIMAN, New Sabah Times

Loading...
Share This