Ahad, 29 Disember 2019

PRK Kimanis: Pertandingan empat penjuru?

Karim Bujang (kiri) dan Mohd Alamin (Kanan)
MEMBAKUT: Dua calon Bebas dikatakan sudah membuat persiapan akhir untuk bertanding, sekali gus memungkinkan berlaku pertandingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Seorang berasal dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, manakala seorang dari DUN Bongawan - iaitu dua kawasan yang membentuk Parlimen P176 Kimanis.

Menurut cakap-cakap dan hantaran melalui media sosial, kedua-duanya dikatakan adalah dari suku kaum Brunai, iaitu masyarakat mendominasi kawasan ini dan merupakan pengundi majoriti, diikuti kaum Kadazandusun dan sedikit Cina.

Penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari ini, berpusat di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir di Beaufort.

Mengambil kira kemungkinan kehadiran dua calon Bebas ini, persaingan kerusi Parlimen Kimanis bakal menyaksikan persaingan sekurang-kurangnya empat penjuru, setelah Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang memerintah dan pembangkang UMNO mengesahkan untuk bertanding `mempertahankan' kerusi berkenaan.

Ketua Menteri merangkap Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan sudah pasti partinya yang bertanding di kawasan itu dalam PRU-14 lepas, bagi mempertahankannya sekali lagi.

Malah, rakan gabungan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang awalnya mahu bertanding mewakili pemerintah, sudah pun memberi laluan dan `lampu hijau' kepada WARISAN.

Begitu juga Parti Keadilan Rakyat (PKR), rakan sekutu dalam kerajaan negeri, mengisytiharkan sokongan kepada WARISAN mempertahankan kerusi Kimanis.

Dua lagi rakan komponen kerajaan WARISAN, iaitu parti UPKO dan DAP, tidak akan menuntut Kimanis, sebaliknya berjanji untuk membantu meraih sokongan pengundi Kadazandusun dan Cina kepada parti pemerintah.

Walaupun Shafie tidak mengumumkan siapa calon mewakili WARISAN, namun cakap-cakap akar-umbi meletakkan nama Datuk Karim Bujang sebagai pilihan utama selain ada satu `nama besar' turut disebut-sebut kemungkinan ditampilkan.

Nama Karim diangkat sebagai 'pilihan nombor satu' kerana justifikasinya sebagai bekas calon WARISAN dalam PRU-14 yang hampir menawan kerusi itu, selain atas kapasiti sebagai Ketua Bahagian WARISAN Kimanis.

Karim, dari kalangan suku Brunai, disenangi orang kampung kerana keperibadiannya yang mesra rakyat. Dalam PRU-14 pun, beliau hanya tewas 156 undi dalam kiraan kali kedua.

Dalam persaingan tiga penjuru ketika itu, Karim memperoleh 11,786 undi, manakala pemenangnya Datuk Seri Anifah Aman mendapat 11,942 undi. Seorang lagi calon mewakili Parti Harapan Sabah, Jaafar Ismail, mengumpul 1,300 undi.

Di pihak pembangkang, UMNO dijadual mengumumkan nama calonnya dalam satu majlis di Kimanis pada tengah hari Rabu ini (1 Januari).

Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut mengesahkan parti itu akan mempertahankan kerusi Kimanis, namun tidak mengumumkan secara rasmi nama calon parti itu.

Bagaimanapun, dalam beberapa siri program turun padang sejak dua minggu ini, Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin, kelihatan sentiasa berada di hadapan, sekaligus meniupkan andaian bahawa beliau adalah calon `favourite' untuk mempertahankan Kimanis.

Mohamad adalah bekas ADUN Bongawan yang dimenanginya dalam PRU-13 tapi gagal mempertahankannya dalam PRU-14 apabila tewas kepada calon WARISAN, Dr Daud Yusof (yang kini dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan).

Selain Mohamad, ada juga dua nama lain disebut-sebut kemungkinan diletakkan oleh UMNO, namun nama-nama berkenaan tidak begitu menonjol.

Anifah sendiri sudah mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi berkenaan, sekali gus menyangkal spekulasi sebelum ini kononnya beliau akan bertanding semula atas tiket UMNO.

Baca juga: Anifah mohon PRK Kimanis ditangguh

Bekas Menteri Luar itu keluar UMNO tahun lalu dan kekal menjadi Ahli Parlimen Bebas sehingga kemenangannya terbatal selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Ogos lalu, yang memutuskan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Kimanis sebagai tidak sah dan batal.

Ia selepas keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membicarakan petisyen difailkan Karim, mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sebelum ini, Karim memfailkan petisyen bagi menyemak semula keputusan pilihan raya kawasan berkenaan selepas PRU-14 tahun lalu yang pada awalnya ditolak Mahkamah Khas Pilihan Raya, namun dikembalikan oleh Mahkamah Persekutuan untuk dibicarakan pada awal tahun ini selepas pempetisyen mengemukakan rayuan.

oleh Lichong Angkui, Utusan Borneo

Loading...
Share This