Khamis, 26 Disember 2019

Polis tahan penyamun cabul mangsa selepas tawar jadi model

Suspek yang ditahan. - Ihsan PDRM
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana dipercayai mencabul dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita yang dijanjikan pekerjaan sebagai model di Pontian, dekat sini, semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som, berkata suspek yang ditahan di Taman Saujana Pontian, turut menyamun mangsa serta teman lelakinya sebelum ini.


Beliau berkata, kejadian berlaku petang Isnin lalu, apabila mangsa yang ditemani teman lelakinya bertemu suspek yang sebelum itu dikenali melalui laman Facebook selepas menawarkan kerja sebagai model.

Katanya, mereka bertemu di kawasan Lima Kedai, Gelang Patah di sini, sebelum suspek bersenjatakan parang menyamun barangan berharga termasuk melarikan kereta mangsa.

Beliau berkata, terdahulu suspek memaksa wanita itu melakukan seks oral dan mencabulnya, selain merakam perbuatannya sebelum mengugut mereka supaya tidak melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.

“Bertindak atas laporan polis pada jam 6.41 petang 23 Disember lalu, gerakan memburu suspek yang juga penganggur itu dilancarkan.

“Kita mengesan dan menahan suspek jam 6 petang semalam dan menemui semula beberapa barangan milik mangsa yang dilarikan termasuk kereta,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine direman lima hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, Seksyen 377C KK kerana melakukan seks luar tabii dan Seksyen 354 KK kerana cabul.

Loading...
Share This