Ahad, 29 Disember 2019

Polis Kota Kinabalu terus gempur sarang dadah

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji. - NSTP/Edmund Samunting
KOTA KINABALU: Seramai 19 individu ditahan selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sepanjang minggu lalu.

Dalam operasi bermula 21 Disember itu, polis turut merampas 43.27 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata operasi berakhir kelmarin itu, menahan 19 individu berusia antara 21 hingga 44 tahun.

“Daripada jumlah itu, seorang disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua lagi disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

“Lapan daripadanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lapan lagi mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, antara lokasi tumpuan ialah Kampung Labou dan Kampung Air.

“Operasi turut merampas 43.27 gram syabu dianggar bernilai RM6,490.50 mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu terus diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Bagi meningkatkan usaha itu, katanya, kerjasama orang ramai amat diperlukan termasuk penyaluran maklumat melalui Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 220 atau laman Facebook rasmi Polis Daerah Kota Kinabalu.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This