Ahad, 22 Disember 2019

Pertama kali terjadi, Naqiu dan Hady Mirza diumum juara bersama GV6!

SHAH ALAM: Mengejutkan! Pertarungan pentas akhir musim keenam Gegar Vaganza (GV6) menyaksikan kejutan apabila Naqiu Boboy dan Hady Mirza diumumkan sebagai juara bersama program realiti itu di sini, Ahad malam.

Mempersembahkan dua tugasan merangkumi nyanyian solo dan 'battle', mereka menewaskan empat peserta lain, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian, ubah suai rumah dan ruang tamu berserta trofi.

Mendendangkan dua lagu, Srikandi Cintaku dan Ha Tepok bersama Hady Mirza, persembahan mereka berdua ternyata memukau hati juri dan para penonton.

Penyanyi asal Singapura, Hady Mirza dalam persembahan solonya mempertaruhkan lagu Ku Bersuara dalam rendition tersendiri.

Beliau meraih hadiah wang tunai RM50,000, pakej percutian dan pakej ubah suai ruang tamu beserta trofi.

Jatt terpaksa akur apabila diumum pemenang tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi.

Nurfatima pula merangkul tempat keempat dengan hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi.

Manakala tempat kelima dan keenam dimenangi oleh One Nation Emcees dan Sham Visa masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Pada konsert akhir, kategori bintang Cuckoo Paling Gempak menjadi milik Hady Mirza.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Pentas akhir GV6 diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan, Datuk Rizalman.

Peserta diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri.

GV6 dihoskan oleh pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad dan Jihan Muse. - Astro Awani

Loading...
Share This