Isnin, 30 Disember 2019

Peragut maut dirempuh mangsa

RANTAI emas yang diragut suspek ditemui bersamanya. FOTO NSTP
LELAKI yang baru sahaja meragut rantai emas milik seorang lelaki menemui ajal selepas dia dirempuh kereta dinaiki mangsa di Bandar Puteri Puchong, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 6.24 petang ketika mangsa yang berusia 44 tahun ingin menaiki kereta miliknya.

“Mangsa didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr yang bertindak merentap rantai emas dipakai mangsa sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun mangsa kemudian terserempak dengan suspek yang menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Puteri 5/5,” katanya.

Ismadi berkata, suspek secara tiba-tiba berhenti mengejut di tengah jalan sebelum dirempuh kereta dinaiki mangsa yang gagal mengelak.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan suspek terjatuh dan terperosok di bawah kereta dan parah.

“Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pada 7.52 malam. Rantai yang diragut suspek ditemui bersamanya,” katanya.

Katanya, semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan samun.

“Mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan menyeluruh yang adil dan saksama mengikut undang-undang akan dijalankan,” katanya. - Harian Metro

Loading...
Share This