Sabtu, 28 Disember 2019

Penunggang motosikal maut rempuh belakang pacuan empat roda di Lahad Datu

LOKASI kejadian kemalangan membabitkan motosikal dan pacuan empat roda di Jalan Pantai, Lahad Datu. - Foto Ihsan Polis
LAHAD DATU: Penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Jalan Pantai, dekat sini.

Dalam kejadian jam 4.27 petang semalam itu, mangsa Rizwan Syah Hassan, 22, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur, berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha dengan sebuah Toyota Vigo yang dipandu seorang lelaki ketika membuat pusingan U di jalan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari bandar Lahad Datu menuju ke Jalan Kastam lama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar belakang pacuan empat roda sehingga menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital. Motosikal mangsa juga didapati mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala Toyota Vigo rosak di bahagian belakang akibat kejadian itu,” katanya.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Oleh Norasikin Daineh, Berita Harian

Loading...
Share This