Jumaat, 20 Disember 2019

Penjara 5 tahun, sebatan samun telefon bimbit gadis di Penampang

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 27 tahun dihukum penjara lima tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan rotan kerana merompak seorang remaja perempuan berumur 17 tahun dengan mengambil telefon bimbitnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Aznan Nasrun selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat ke atasnya pada Rabu.

Dia merompak gadis itu dengan mengambil telefon bimbitnya pukul 6.50 pagi pada 4 Disember tahun ini di hadapan Restoran Mee Sup Pipin, Penampang.

Kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasinya, Aznan merayu hukuman ringan dengan mengatakan ia adalah kesalahan pertamanya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Affendy menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan atas dasar kesalahan itu sangat berleluasa hari ini.

Mahkamah memerintahkan Aznan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.

Mahkamah diberitahu remaja itu sedang bertelefon apabila seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian dikenal pasti sebagai Aznan merampas telefon bimbitnya dan melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan orang awam berdekatan berjaya menahan Aznan yang kemudian diserahkan kepada polis.

Sementara itu, dua belia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan bersama merogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun secara berkumpulan.

Ibnu Saiful Pangusulan dan Jasryeil Idham Abdullah, kedua-duanya, 18, menerima DNAA susulan permohonan pendakwaan yang masih belum menutup kesnya dan perlu melakukan siasatan lanjut ke atas kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Mohamad Megat Tharih Affendy memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan masih belum mengemukakan semua buktinya, tetapi memandangkan terdapat perkembangan baharu dalam kes terbabit, beliau memohon DNAA.

Sementara itu, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili dua pemuda terbabit, memohon pembebasan atas alasan bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan tidak mencukupi untuk mengaitkan kedua-duanya dan perbicaraan untuk kes itu sudah bermula.

Dua lelaki terbabit dituduh melakukan perbuatan itu ke atas gadis berkenaan yang baru mereka kenali, pukul 2 pagi pada 31 Mac tahun ini di sebuah rumah di Penampang.

Mahkamah turut memerintahkan ikat jamin Ibnu Saiful sebanyak RM8,000 agar dikembalikan semula. - Harian Ekspress

Loading...
Share This