Khamis, 19 Disember 2019

MTUC Sabah nafi sokong pindaan undang-undang buruh

MTUC mendakwa kerajaan tidak merujuk pihaknya apabila membentangkan pindaan APP 1967 di Dewan Rakyat, Oktober lalu.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah menafikan pihaknya menyokong pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967.

Setiausaha MTUC Sabah, Catherine Jikunan menegaskan MTUC Sabah tidak pernah memberi persetujuan seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

“MTUC Sabah menyokong apa juga keputusan MTUC pusat, di mana MTUC pusat menegaskan ia tidak pernah membantah atau menolak pindaan undang-undang berkenaan.

“Tetapi menegaskan beberapa sekysen Akta Perhubungan Perindustrian (APP) 1967 yang tidak dibincangkan di Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Oleh itu MTUC pusat mahukan pindaan akta ini di pulangkan kembali untuk dibincangkan di peringkat NLAC seperti yang di janjikan dalam mesyuarat NLAC sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Kula Segaran berkata MTUC Sabah dan Sarawak menyokong Rang Undang-Undang tersebut yang akan tetap dibentangkan di Dewan Negara minggu ini.

“Bila bercakap tentang MTUC, kita ada MTUC dari Sabah dan Sarawak. Semalam, MTUC Sarawak lebih kurang 50 orang, mereka pergi ke Senat memberi sokongan tapi tak apa lah, itu pandangan mereka. Ini proses demokrasi,” katanya.

Sebelum ini, MTUC mendakwa kerajaan tidak merujuk pihaknya apabila membentangkan pindaan APP 1967 di Dewan Rakyat, Oktober lalu, namun kenyataan itu dinafikan Kula Segaran.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyifatkan pindaan itu akan mengancam solidariti kesatuan pekerja kerana akan menyebabkan wujud banyak kesatuan dalam satu tempat kerja.

Catherine berkata sokongan MTUC Sabah mengenai pindaan rang undang-undang itu selaras dengan perjuangan MTUC pusat selepas mengadakan mesyuarat khas pada 17 Dis lalu.

Beliau juga berkata 2 kesatuan dari perkayuan dan perladangan tidak hadir dalam mesyuarat khas itu tetapi memberi persetujuan terhadap pindaan tersebut. - Free Malaysia Today

Loading...
Share This