Ahad, 29 Disember 2019

Menteri akan bawa isu penahanan 4 pelancong China di Tawau ke Kabinet

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong akan membawa kepada Kabinet Persekutuan perkara penahanan terbaharu empat pelancong wanita China di Tawau untuk memastikan insiden seperti itu tidak akan berulang.

Setiausaha Politiknya Martin Tommy berkata Menteri akan membangkitkan isu ini dengan tujuan untuk meminda undang-undang mengenainya dan juga berhubung ikat jamin.

Empat wanita itu – Zhang Qingsi, 23, Wang Xiali, 25, Wu Jingting, 24 dan Liu Ling, 22 – tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 14 Disember dan entah bagaimana, tidak melalui imigresen semasa transit mereka ke Tawau.

Kesilapan ini juga mencadangkan bahawa sesiapa sahaja boleh memasuki Sabah tanpa diperiksa biarpun melalui pengangkutan udara.

Difahamkan bahawa empat wanita itu keluar dari lapangan terbang Tawau dan menghabiskan masa mereka di situ dan di Semporna. Tetapi apabila mereka kembali ke lapangan terbang pada 19 Disember, mereka ditahan kerana melanggar undang-undang imigresen sebab pasport mereka tidak dicap.

Martin berkata Konsulat China mengadu kepada Menteri kerana empat warga mudanya itu ditolak ikat jamin dan akan dikenakan pertuduhan pada 31 Disember. Mereka masih ditahan kerana majistret dipercayai sedang bercuti dan tidak ada tarikh pendengaran awal yang boleh didapati. Daily Express memaparkan kisah mereka dalam laporan muka depan pada Sabtu.

Difahamkan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong mengarahkan supaya tarikh pendengaran diawalkan ke Sabtu (28 Disember), di mana mereka dibebaskan dengan tempoh penahanan 18 hari mereka sebagai ganti hukuman penjara.

Martin berkata apa yang dihadapi oleh empat pelancong yang tidak bersalah itu adalah suatu pemutarbelitan keadilan.

“Bayangkan mereka terpaksa menghabiskan waktu Krismas mereka di dalam sel-sel gelap dan berbau selama beberapa hari disebabkan sama ada oleh kejahilan atau kecuaian mereka serta papan notis tidak cekap dan kekurangan maklumat audio di KKIA.

“Selain itu, laluan ke bahagian kaunter mengelirukan,” katanya kepada Daily Express pada Sabtu, selepas Liew memintanya bertemu dengan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide. Turut hadir Setiausaha Sulit Liew, Ricky Foo.

Martin berkata pengalaman empat wanita muda itu akan meninggalkan kesan pada mereka seumur hidup, dan mereka pasti akan memberitahu orang ramai di negara mereka bagaimana buruknya mereka dilayan di Sabah. 

“Ini pasti akan menjejaskan industri pelancongan Sabah,” katanya.

Martin berkata kes itu adalah kes ketiga yang dirujuk kepada Liew – semuanya kerana pelancong tidak terlepas maklumat di papan notis.

Beliau berkata pihak berkuasa, terutama pegawai penyiasat dan pegawai pendakwa, harus segera memaklumkan kepada Konsulat China apabila warganegara China ditangkap atau dibawa ke Mahkamah kerana tidak mempunyai cap keluar pada pasport mereka, dan bukan dihantar ke pusat tahanan.

“Oleh kerana mereka bukan risiko melarikan diri (kerana paspot mereka tentu sudah dikompaun), ikat jamin harus dibenarkan dengan Konsulat sebagai penjamin.

“Mereka juga harus dibenarkan tinggal di sebuah hotel atau tempat penginapan yang diatur oleh Konsulat sehingga proses sewajarnya.

“Akal seseorang tentu akan sedar bahawa mereka bukan penjenayah dan tidak mempunyai niat untuk melanggar undang-undang. Tetapi ia disebabkan ketidaktahuan atau kecuaian mereka. Di sini keadilan seharusnya memihak pada mereka,” katanya.

Martin turut berkata lapangan terbang di Sabah bukan sahaja mesti mempunyai papan notis yang cerah tetapi juga rakaman maklumat audio yang boleh dimainkan semasa ketibaan pelancong dalam bahasa mereka bahawa mereka mesti melapor kepada imigresen jika mereka berhasrat untuk singgah ke destinasi tempatan. 

“Majistret juga mesti menggunakan budi bicara untuk menangani mereka yang melanggar undang-undang imigresen tanpa niat jenayah. Dalam kes ini, laporan polis jelas bahawa empat perempuan ini tidak mempunyai niat jenayah,” katanya.

Beliau berkata pegawai imigresen juga mestilah tidak dilihat keterlaluan dalam mahu mendakwa orang yang tidak bersalah hanya untuk KPI mereka apabila mereka tahu bahawa mereka boleh mengenakan kompaun dan memberikan amaran atau endorsan pada pasport mereka. 

“Kenapa membazirkan wang awam untuk mendakwa empat pelancong ini yang menghabiskan masa 15 hari di Sabah sebelum ditahan dan dinafikan ikat jamin apabila ia jelas mereka menyumbang kepada ekonomi dengan berbelanja dalam perjalanan, penginapan, makanan dan sebagainya semasa di sini,” katanya.

Insiden itu adalah yang terbaharu melibatkan warga China yang melawat Sabah. Kesusahan yang mereka alami dibangkitkan apabila konsul China merujuk perkara itu kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, yang kesal ia berlaku sekali lagi walaupun jaminan oleh Pengarah Imigresen Negeri bahawa langkah akan diambil dengan Malaysia Airport Holdings Berhad untuk memastikan ia tidak berulang.

Pada Disember tahun lalu, beberapa pelancong China, termasuk seorang wanita hamil, ditahan bersama pendatang tanpa izin warga Filipina dan Indonesia di kem tahanan Manggatal. 

Liang mendedahkan kepada media bahawa ada beberapa lagi kejadian awal tahun lalu dan ia terdesak mencari penyelesaian. - Harian Ekspress

Loading...
Share This