Khamis, 19 Disember 2019

Malaysia akhirnya lulus pemansuhan akta berita tidak benar

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) selepas kali ke-2 dibawa ke persidangan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada sesi penggulungan RUU berkenaan berkata pemansuhan itu selaras komitmen kerajaan memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan media mempunyai kebebasan menjalankan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

“Kezaliman ini sejarah dan kita tak mahu lagi berulang. Kita tidak boleh memperhambakan manusia menerusi undang-undang yang zalim kerana kebebasan adalah yang paling berharga,” katanya.

Akta 803 diluluskan pada 3 April 2018 pada pentadbiran dulu.

Pemansuhan akta tersebut diluluskan di Dewan Rakyat kali pertama pada 16 Ogos tahun lepas, namun tidak mendapat sokongan di Dewan Negara melalui undi belah bahagian pada 12 Sept 2018.

RUU itu kemudian sekali lagi dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat dan diluluskan pada 9 Okt lepas.

Sementara itu, ketika ditemui Bernama, Hanipa berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi dan boleh dipinda sekiranya ia tidak mampu untuk menangani berita palsu. - Free Malaysia Today

Loading...
Share This