Selasa, 24 Disember 2019

Lembaga hitam mengilai dari dapur

Ahli keluarga Siti Fatimah melaungkan azan. FOTO ihsan Siti Fatimah Mujahidin.
KELIBAT lembaga hitam berbadan besar mengilai dari dapur pangsapuri di Port Dickson, Negeri Sembilan menghantui percutian 22 orang daripada sebuah keluarga sebelum seorang daripadanya diserang histeria.

Kejadian mengerikan itu berlaku pada 19 Disember lalu iaitu pada malam terakhir keluarga terbabit menginap sebelum mereka mendaftar keluar pada keesokan hari.

Ceritanya bermula pada malam hari pertama mereka mendaftar masuk apabila seorang daripada mereka terdengar suara mengilai di bahagian dapur manakala di bahagian atas pula kedengaran seperti orang berjalan.

Kisah itu dikuatkan lagi dengan rakaman video sempat dirakam seorang ahli keluarga terbabit apabila kedengaran suara seperti orang tidur berdengkur sementara lampu di dapur sekejap hidup sekejap dimatikan.

Malah, beberapa lagi rakaman video menunjukkan kelibat lembaga itu berada berdekatan pintu sebuah lagi pangsapuri sebelum hilang.

Menceritakan peristiwa itu, Siti Fatimah Mujahidin, 34, berkata, selepas beberapa minit kemudian, adik bongsunya Muhammad Yussuf, 20, mula mengalami gangguan selepas melihat lembaga itu di dapur.

“Cerita ini bukan rekaan kerana ia berlaku di depan mata kami, malah ada rakaman video menunjukkan lembaga itu berada di situ.

“Berikutan itu, suami saya, Muhammad Salman Haidir, 32, melaungkan azan dan suara Yussuf bertukar garau. Kejadian bermula pada 4 pagi dan berakhir sejam setengah kemudian sebelum Yussuf kembali sedar,” katanya ketika dihubungi.

YUSSUF terlentang selepas diserang histeria. FOTO ihsan Siti Fatimah Mujahidin.
Tidak cukup dengan itu, Muhammad Salman turut membaca ayat suci al-Quran, sekali gus meredakan gangguan dialami.

“Alhamdulillah dengan izin Allah keadaan kembali pulih. Pada 8 pagi, selepas mandi, kami menghubungi penjaga apartmen dan dia datang untuk pemeriksaan.

“Kami cerita apa yang berlaku padanya namun dia hanya terdiam dan meminta maaf,” katanya.

Kisah dialami Siti Fatimah sekeluarga dikongsikan dalam Facebook miliknya hingga mendapat pelbagai komen daripada netizen.

Menerusi hantaran bertajuk ‘Peristiwa Diganggu Semasa Bercuti’, netizen memberi komen antaranya: ‘’Saya pernah menginap di apartmen itu, memang kawasan situ hot (panas)...jam 2.30 pagi, saya terlihat orang tanpa kepala.

“Moga kita semua dijauhi perkara tak diingini, perkongsian bagus dan wajib percaya benda itu wujud dan ada.” 

Tonton Video Harian Metro


Loading...
Share This