Krismas menyedihkan, 20,000 terkandas Taufan Phanfone landa Filipina
Beberapa rumah musnah akibat Taufan Phanfone di Tacloban. - Foto AFP MANILA: Sambutan Krismas bertukar huru-hara di tengah Filipina ke...

http://www.buletinsabah.com/2019/12/krismas-menyedihkan-20000-terkandas.html
![]() |
Beberapa rumah musnah akibat Taufan Phanfone di Tacloban. - Foto AFP |
MANILA: Sambutan Krismas bertukar huru-hara di tengah Filipina ketika taufan yang membawa angin kencang dan hujan lebat memusnahkan kediaman, memutuskan bekalan kuasa dan menyebabkan pelancong terkandas, kata pihak berkuasa bencana hari ini.
Taufan Phanfone, diletakkan pada kategori 2 dalam Risiko Taufan Tropika membawa angin dengan kelajuan maksimum 120 kilometer sejam dan kekuatan sehingga 150 kilometer sejam apabila mendarat di wilayah timur Samar semalam, kata pegawai cuaca dan bencana.
Lebih 4,000 penduduk dipindahkan di rantau Timur Visayas di tengah Filipina, walaupun tiada laporan kematian diterima, kata pihak berkuasa.
Imej dihantar seorang penduduk di Tanauan, wilayah Leyte, Paul Cinco, menunjukkan angin kencang dan kerosakan akibat serangan taufan terbabit.
“Kesan serangan menyebabkan kami sedih kerana ia berlaku ketika Krismas, namun tidak dirasai seperti Krismas. Begitu pun kami bersyukur kerana selamat, tiada kemusnahan besar atau kematian dilaporkan,” katanya.
Lebih 20,000 penumpang dan 157 kapal terkandas di pelabuhan hari ini dan sekurang-kurangnya 60 penerbangan domestik dibatalkan. Media tempatan melaporkan, 100 rumah di laluan ribut musnah semalam. Purata 20 taufan membadai Filipina setiap tahun. - Reuters