Khamis, 26 Disember 2019

Kimanis kawasan unik, bakal jadi tumpuan

Isu pembangunan dijangka hangat dibualkan sepanjang PRK Kimanis nanti

BONGAWAN: Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari depan, bakal menjadikan kawasan ini tumpuan negara sedikit masa lagi.

Merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut, Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi berdaftar, dengan pengundinya bercampur Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina.

 Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis yang baru dibina.
LAMBANG KEMAJUAN: Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis yang baru dibina.

Kawasannya cukup luas, bersempadan tiga daerah, iaitu Papar, Beaufort dan Keningau.


 Jambatan Kimanis merentangi Sungai Kimanis, bakal jadi sebutan ramai tidak lama lagi.Kimanis merupakan kawasan unik kerana tidak mempunyai pusat pentadbiran sendiri walaupun ada tiga pekan di sini - Pekan Kimanis, Bongawan dan Membakut. Kawasan Pekan Bongawan dan Kimanis lazimnya berurusan di Pejabat Daerah Papar, manakala kawasan pekan Membakut berurusan di Pejabat Daerah Beaufort.

Sementara sebahagian kecil penduduk di kawasan Bukit Kimanis lebih dekat ke Keningau untuk berbelanja, berbanding turun ke Papar atau Beaufort.

Berikutan ketiadaan pusat pentadbiran sendiri, maka dalam PRK kali ini, Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort, akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Malahan, Pegawai Daerah Beaufort Jupari@Jupry Etok, dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Kimanis, dibantu oleh lima penolong pengawai pengurus.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati, dari segi pembangunan, ketiga-tiga kawasan pekan Bongawan, Membakut Kimanis, turut mendapat limpahan kemajuan walaupun tidak sehebat jangkaan dan harapan penduduknya.

Bangunan komersil baharu semakin banyak dibangunkan di kawasan ini, sedang kedai usang dan lama terus kekal menjadi identitinya.

 Pemandangan kedai di pekan lama Bongawan yang dibina daripada kayu masih beroperasi, sementara di sebelahnya telah banyak dibina bangunan komersil konkrit.

Di kawasan pekan Kimanis misalnya, kini terdapat beberapa deretan bangunan komersil mewarnai landskap kemajuannya. Mercu tanda utama ialah projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) dan projek tenaga elektrik, Kimanis Power.

Balai Bomba dan Penyelamat baharu turut dibina di kawasan ini, yang direntasi oleh projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

 Pemandangan kedai di pekan lama Bongawan yang dibina daripada kayu masih beroperasi, sementara di sebelahnya telah banyak dibina bangunan komersil konkrit.
IDENTITI BONGAWAN: Pemandangan kedai di pekan lama Bongawan yang dibina daripada kayu masih beroperasi, sementara di sebelahnya telah banyak dibina bangunan komersil konkrit.

Pada PRU14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi. Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018.


PRU14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Anifah bersama calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail memperoleh 1,300 undi.

Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.


PRK Parlimen Kimanis ialah PRK ke-10 diadakan sejak Pakatan Harapan memenangi PRU 14 pada 9 Mei, 2018.  PRK terakhir diadakan sebelum ini ialah PRK Tanjung Piai pada bulan lepas.

Untuk rekod, sebelum ini memang ada cadangan untuk menaik taraf pekan Bongawan sebagai daerah kecil, manakala daerah kecil Membakut diangkat sebagai daerah penuh. Tetapi sehingga kini, ia belum menjadi realiti.

Justeru, dalam PRK Kimanis kali ini, isu berkaitan pusat pentadbiran sendiri bagi kawasan Kimanis akan menjadi hangat dibualkan semula.

Menarik di sebalik PRK Parlimen Kimanis kali ini ialah sejauh mana pengundi mengukur pertimbangan -- apakah mengikut logika pemikiran atau gejolak emosi; apakah memikir isu pembangunan dan ekonomi atau sentimen kepartian, perkuman dan kenegerian -- semuanya berada di hujung jari pengundi Kimanis.

Oleh Lichong Angkui, Utusan Borneo

Loading...
Share This