Ahad, 29 Disember 2019

Kes rogol pelajar makin serius

KUALA LUMPUR: Pergaulan bebas dan akses yang cukup mudah mendapatkan bahan lucah di internet, dikenal pasti antara punca utama peningkatan kes rogol dalam kalangan remaja termasuk pelajar.

Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2018, sebanyak 480 kes rogol dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada 491 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Daripada jumlah itu, 168 kes pada 2018 membabitkan pelajar dan statistik terkini menunjukkan peningkatan kepada 194 kes sehingga Oktober lalu.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata berdasarkan maklumat terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, situasi berkenaan cukup membimbangkan dan perlu dibendung.

Berdasarkan statistik itu, katanya, jumlah kes rogol dalam kalangan pelajar meningkat 15.5 peratus (26 kes).

“Walaupun indeks jenayah kekerasan dan harta benda membabitkan pelajar dan bukan pelajar secara keseluruhan menurun, kes rogol semakin meningkat.

“Mangsa yang paling ramai berusia antara 13 hingga 15 tahun. Jadi, semua pihak perlu memainkan peranan dengan mencipta ketakutan kepada remaja dan pelajar supaya mereka tidak berani melakukannya,” katanya.

Lam Thye berkata, golongan itu perlu sentiasa diberikan pendedahan, maklumat serta kesan akibat perbuatan mereka, sama ada di peringkat sekolah dan melalui ibu bapa.

“Kita perlu fikirkan kaedah terbaik mencegah perkara ini. Sebagai remaja, mereka suka bergaul bebas tetapi perlu ada kawalan kerana ia akan menjurus kepada hubungan intim.

“Mereka mungkin melakukan seks atau atas dasar rela, tetapi apabila sudah putus hubungan, mereka akan membuat laporan polis mendakwa dirogol. Kes seperti ini menyumbang kepada kenaikan indeks jenayah,” katanya.

Katanya, faktor salah guna kemudahan internet juga menyumbang kepada perilaku jenayah rogol kerana ketika ini, sesiapa sahaja bebas mendapatkan bahan lucah.

“Mereka harus berhati-hati dan bijak menggunakan kemudahan. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak mudah menjadi terjebak.

“Sebab itulah pendidikan dan pencegahan sangat penting. Ia perlu dilakukan secara berterusan. Ramai tidak tahu apa hukuman bagi kes rogol, terutama kes bawah umur. Jangan `sudah terhantuk baru terngadah’,” katanya. - Berita Harian


Loading...
Share This